Tuesday, May 4, 2010

Tambah Wang

KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,400 suri rumah kini mampu memperoleh pendapatan tambahan antara RM300 hingga RM500 sebulan melalui program bekerja di rumah mengikut kesesuaian waktu dan kemahiran masing-masing tetapi masih berupaya menjaga anak dan menguruskan rumah tangga.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan, berkata ini antara cara meningkatkan jumlah tenaga kerja wanita di negara ini yang masih jauh ketinggalan iaitu hanya 46 peratus daripada 12.6 juta wanita berbanding negara lain yang mencecah 70 peratus selain membantu menambah pendapatan keluarga.

Katanya, program itu yang mula dilaksanakan empat tahun lalu mendapat sokongan kira-kira 200 majikan yang menyediakan pelbagai kerja ringan sesuai dilakukan suri rumah seperti jahitan, membuat barang kraf, pembungkusan, memintal wayar dan pemprosesan makanan.

“Dalam program ini majikan menghantar bahan ke rumah pekerja dan suri rumah dibayar mengikut jumlah produk disiapkan.

“Pada masa sama kementerian menyediakan latihan untuk suri rumah membuat aksesori, pemasaran dan baik pulih aksesori yang rosak supaya mereka boleh memberi perkhidmatan lepas jualan kepada pelanggan.

“Ini antara usaha membantu suri rumah yang tidak boleh keluar bekerja menjana ekonomi keluarga. Kementerian juga kini menimbang supaya suri rumah, ibu tunggal atau pelajar dijadikan pekerja separuh masa, terutama di restoran pada waktu puncak iaitu makan tengah hari dan malam.

“Ini berikutan aduan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang menghadapi masalah kekurangan 20,000 pekerja dan meminta dibenarkan mengambil pekerja asing kerana rakyat tempatan tidak berminat akibat gaji rendah.

“Kebergantungan kepada tenaga kerja asing boleh dikurangkan dengan memberi peluang kepada rakyat tempatan, khususnya kumpulan yang disebut tadi, untuk bekerja separuh masa.

“Namun, perkara ini perlu dibincangkan lebih lanjut, terutama daripada aspek penyelarasan tenaga kerja, upah dan pengangkutan, supaya perniagaan majikan dan tanggungjawab suri rumah kepada keluarga tidak terjejas,” katanya pada pelancaran program Juara Rakyat ‘Bengkel Perniagaan Hidroterapi Medicspa’ anjuran Biro Ekonomi dan Keusahawanan Umno Cheras. Hadir sama Ketua Umno Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Setakat ini program itu hanya disasar kepada suri rumah berdasarkan jenis kerja ditawarkan lebih sesuai untuk wanita dan akan diperluaskan ke peringkat komuniti supaya kerja boleh dilakukan secara berkelompok, contohnya di balai raya.

Justeru, beliau berkata, kementerian meminda Akta Pekerja 1995 untuk memasukkan hak pekerja separuh masa bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada suri rumah, individu pencen (kini berjumlah 700,000 orang), orang kurang upaya (OKU) dan pelajar yang dikategorikan sebagai ‘tenaga berpotensi yang belum diguna’.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment